Surat Buat Mujahid dan Mujahidah AKMAL:
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Para Mujahid dan Mujahidah AKMAL yang dikasihi, pejuang Al-Quran yang sedang mendaki ke puncak kejayaan,
Dalam saat ini, ketika antum sedang berada dalam fasa pecutan akhir marathon Huffaz pada 10 malam terakhir Ramadhan, izinkan Murabbi menulis sepucuk surat ini sebagai tanda kasih, doa, dan sokongan penuh buat antum semua. Surat ini lahir dari hati murabbi yang juga seorang pejuang, seorang hamba yang sedang menelusuri jalan mujahadah dan Murabbi tahu, antum juga sedang berada di atas jalan yang sama.
Perjuangan ini bukan mudah. Murabbi sendiri, sebagai insan biasa, telah melalui bulan Ramadhan ini dengan jadual padat: sesi meeting hampir setiap hari, dari pagi hingga petang. Puasa, tarawih, meeting, VC, sambung lagi selepas moreh. Terus terang, Murabbi sangat exhausted dan drained out. Tapi Murabbi sedar, ini bukan kerja biasa. Ini adalah kerja perjuangan. Kerja dakwah. Kerja mengangkat umat. Dan Murabbi yakin, antum juga sedang berada di titik yang sama, letih, tapi tetap melangkah.
Dalam perjuangan ini, ada saat antum merasa terlalu penat. Ada saat terasa mahu menyerah. Tapi yakinlah, ini bukan jalan orang biasa. Jalan ini hanya dilalui oleh mereka yang benar-benar punya kemahuan yang tinggi, dan berpegang teguh pada impian mereka untuk menjadi insan luar biasa, Hafiz dan Hafizah Al-Quran yang membawa sinar keadilan dan rahmat buat umat.
Ramadhan, Kisah Badar menjadi tauladan kita.
313 orang sahabat menentang 1,000 orang musuh. Mereka bukan tentera profesional. Mereka kekurangan kelengkapan. Tapi mereka memiliki sesuatu yang lebih besar, iman yang kukuh dan doa yang tidak putus-putus. Allah turunkan pertolongan dari langit. Kerana apa? Kerana mereka yakin dan sungguh-sungguh.
Lihatlah bagaimana Sa’ad bin Mu’adz, ketua kaum Ansar, saat Rasulullah ﷺ meminta pandangan para sahabat sebelum bertolak ke Badar. Sa’ad dengan penuh yakin menjawab:
“Wahai Rasulullah, pergilah kepada apa yang Allah perintahkan kepadamu. Demi Allah, sekiranya engkau membawa kami menyelam ke laut sekalipun, pasti kami akan menyelam bersamamu!”
Lihatlah keyakinan dan kesetiaan ini. Itulah semangat sebenar pejuang, percaya sepenuhnya kepada Allah dan perjuangan ini.
Atau lihat kisah Umair bin Abi Waqas, seorang pemuda yang masih kecil dan belum cukup umur, cuba menyelinap masuk ke barisan tentera kerana cintanya kepada jihad. Bila disuruh pulang oleh abangnya, beliau menangis kerana bimbang tidak mendapat peluang untuk syahid. Rasulullah ﷺ melihat keikhlasannya dan mengizinkannya menyertai perang. Umair akhirnya gugur syahid di Badar. Keikhlasan dan kesungguhan yang luar biasa, bukan pada umur, tetapi pada hati yang besar dan jiwa yang agung.
Tiga perkara penting yang Murabbi pelajari dan ingin wariskan kepada antum:
- Kejayaan bukan untuk semua orang. Ia hanya untuk mereka yang benar-benar memiliki kemahuan tinggi dan tidak mudah goyah dengan ujian.
- Kejayaan tidak datang bergolek. Ia hadir kepada mereka yang bersungguh-sungguh walaupun diri serba kekurangan.
- Orang berjaya sanggup terus mendaki, walau sakit, walau letih. Mereka sanggup lakukan apa sahaja – do whatever it takes – untuk capai potensi dan keberkatan hidup demi Allah dan orang yang mereka sayangi.
Wahai Mujahid dan Mujahidah AKMAL,
Antum bukan sekadar menghafal, tetapi sedang membina satu legasi. Hafazan antum hari ini, tangisan antum dalam sujud malam ini, akan membuka pintu-pintu kejayaan, bukan hanya untuk diri antum, tapi untuk keluarga dan ummat Islam itu sendiri.
Dan jangan antum lupa ibubapa antum, serta Murabbi dan Murabbiah antum juga sedang bermujahadah bersama. Mereka juga berpenat lelah, mereka juga menangis dalam doa. Mereka juga berjuang dengan sabar dan penuh semangat, siang dan malam, memikirkan cara terbaik untuk membimbing dan mendidik antum ke puncak hafazan dan kejayaan. Jangan lupa sebut nama mereka dalam doa-doa antum. Doakan mereka panjang umur, diberi kesihatan, kekuatan, dan syurga di akhirat.
Jangan jadi seperti mereka yang sabotaj diri sendiri, yang mula dengan niat baik, tapi tidak sanggup berkorban. Kita tak mahu berhenti di tengah jalan. Kita mahu sampai ke garisan penamat. Kita mahu menjadi golongan yang benar-benar memaksimumkan 10 malam terakhir ini dengan hafazan, dengan munajat, dengan kesungguhan.
Wahai Mujahid dan Mujahidah AKMAL,
Teruskan berjuang! Jangan sesekali menoleh ke belakang. Inilah medan Badar antum, inilah medan menguji keimanan dan kesungguhan. Bawa pulang hadiah kejayaan yang luar biasa, bukan sekadar hafazan baru yang dicapai, tetapi sebuah kemenangan hati, jiwa dan maruah sebagai pejuang Al-Quran. Ramai boleh mula, tapi hanya yang benar-benar ikhlas, sabar dan kuat yang akan sampai ke garisan penamat. Jadilah antara yang sampai. Buktikan bahawa usaha hebat marathon Huffaz ini akan dibalas dengan kejayaan yang hebat juga, kejayaan dunia dan akhirat, insyaAllah. Kalian bukan biasa-biasa. Kalian adalah pilihan Allah. Maka buktikan bahawa kalian layak menjadi hamba yang dimuliakan oleh Al-Quran!
Trust the process.
Murabbi tahu ia sukar. Murabbi tahu kadang-kadang ada tangisan yang tersembunyi. Tapi yakinlah, setiap baris ayat yang antum hafal adalah pelita untuk dunia dan akhirat.
Doakan Murabbi juga, agar dapat terus menjadi saksi kejayaan antum.
Dan Murabbi juga akan terus mendoakan, agar antum semua akan menjadi Hafiz dan Hafizah yang bukan sahaja hafal, tetapi membawa Al-Quran dalam kepimpinan, dalam masyarakat, dan cemerlang dalam kehidupan.
Man Jadda Wa Jada – Siapa yang bersungguh, dia akan dapat!
Semoga Allah kurniakan kita semua Lailatul Qadr, dan semoga kita semua menjadi pemenang sebenar di sisiNya.
Teruskan mendaki. Teruskan pecutan.
Murabbi sangat bangga dengan antum semua.
Murabbi doakan setiap langkah antum disirami cahaya dan pertolongan dari Allah.
Yang sentiasa mendoakan,
Murabbi Saifullah
Penunjuk jalan, pencinta Al-Quran, dan pengharap pada kejayaan antum di dunia & akhirat
