Kisah Inspirasi Jibril: Tetap Bertahan, Pantang Menyerah!
Jibril, seorang anak sulung dari enam beradik, lahir dari pasangan cemerlang yang kedua-duanya adalah pensyarah. Dia bercita-cita menjadi penceramah bebas yang hebat seperti ayahnya. Inspirasi untuk menjadi hafiz bermula dari kejayaan kakak sulung dan kakak ketiganya yang berjaya bergelar al-Hafizah. Jibril bertekad untuk meneruskan legasi menjulang Mukjizat Agung Baginda Nabi SAW.
Ibu bapanya menaruh harapan tinggi, memberikan sepenuh komitmen untuk membantu Jibril menghafal 30 juzuk al-Quran. Mereka turut dibantu oleh lima murabbi dan murabbiah yang ikhlas mendidik Jibril, sanggup mengorbankan masa dan tenaga demi memastikan Jibril mencapai cita-citanya.
Jibril dikenali sebagai seorang yang matang dalam pemikiran dan tindakan. Dia sering menjadi ‘abang’ kepada kawan-kawannya, tempat rujukan dan pengaduan. Fikirannya kreatif, dengan pelbagai idea bernas yang membantu dalam pelbagai program. Adabnya tinggi, suka berpesan dan mendengar nasihat. Ucapan ‘terima kasih’, ‘minta maaf’, dan ‘doakan ana’ tidak lekang di bibirnya setiap kali bertemu.
Jibril tekun menghabiskan waktu seharian bersama al-Quran. Walaupun potensinya tidak setanding dengan mereka yang berjaya menghabiskan hafazan dalam kurang dari setahun, tekad dan azamnya tinggi. Usaha yang kuat, siang malam bersengkang mata untuk mencukupkan rukun harian, menunjukkan jiwa yang luar biasa. Walaupun hasilnya tidak seberapa, Jibril tidak pernah berhenti mencuba. Nasihat dari ibu bapa, murabbi, murabbiah, mudir, dan seluruh warga AKMAL Walad menjadi bekal semangat yang kekal terpaut di hati.
Bila dibuka sebuah buku cerita tentang perjalanan kejayaan seseorang, semestinya awal jalan cerita ini bakala diragut segala bahagia ketika mula menelusuri pahit manis sebuah perjalanan. Cabaran yang dihadapi Jibril tidaklah mudah. Menerima ujian berat insan tercinta atuk dan neneknya yang telah pergi buat selamanya sebelum Jibril bergelar Al-Hafiz. Antara insan yang berjasa yang telah menemani perjalanannya walaupun singkat umur berbaki. Tekanan dari pelbagai arah sering mengganggu emosinya, membuatkan dia ragu untuk terus melangkah. Mana tidaknya, usaha yang bersungguh sering terbalas dengan hasil yang sedikit. Setiap kata impian yang dilontarkan dibalas dengan kecaman dan tohmahan, diperlekeh dan dipandang rendah. Namun, Jibril tidak pernah menyerah. Dia terus memujuk hatinya dengan kata-kata semangat, percaya bahawa kejayaan bukan mustahil untuk dicapai.
Sepanjang tempoh menghafal, Jibril sangat cekap dalam mengaplikasikan teknik magic numbers dan pomodoro. Sejujurnya, Jibril mempunyai tingkat hafalan yang cemerlang. Namun apa yang menghalangnya adalah ketika mana dia mula meletakkan target yang terlalu tinggi dan gagal untuk mnecapai target yang ditetapkan. Emosi mula bercelaru, kekuatan terkubur bersama impian. Mengambil masa yang agak lama untuk bangkit kembali. Namun, ibu bapa dan guru terus memberikan kata-kata semangat bagi memastikan Jibril tidak terus hanyut dalam kesedihan dan kekecewaan.
Pada akhirnya, Jibril berjaya break limit beberapa kali dan membuat kejayaan hebat. Namun, penat yang dirasa mula menjadikan Jibril lemah dan tidak bermaya. Tetapi kekuatan terus mengalir dari doa hebat ibu bapanya. Ketika tangan mereka mula diangkat menadah tangan memohon doa, doa mereka menembusi tujuh petala langit. Titisan air mata menjadi tanda kesungguhan dalam setiap rayuan, meletakkan diri pada tempat paling rendah demi satu cita-cita.
Seminggu sebelum Grand Motivational Programme, Majlis Konvokesyen Haflah Takrimiah yang merupakan program tahunan terulung AKMAL, Jibril hanya tinggal lagi empat juzuk setengah yang perlu dihabiskan. Dengan kekangan masa yang amat suntuk, keadaan kesihatan yang merosot, dan rehat yang semakin berkurang, Jibril membuat perancangan rapi. Dia mula tidur pada jam 12.00 malam dan bangun pada pukul 3.00 pagi, menumpukan sepenuh perhatian dan tenaga bersama al-Quran. Walaupun sakit kepala dan keletihan mula dirasai, Jibril terus berusaha tanpa henti.
Sehari sebelum majlis, azan maghrib mula berkumandang. Terlihat wajah kecewa, baki hafalan saba’ yang perlu dihabiskan adalah dua juzuk setengah. Walaupun merasa kecewa, Jibril bangkit kembali dengan semangat baru. Bisik hatinya “Mustahil Allah bawa aku sejauh ini semata-mata untuk pertemukan aku dengan kegagalan”. Dia memanfaatkan sepenuh masa sepanjang malam dan pagi, meneruskan hafalannya dalam perjalanan ke tapak program.
Perjalanan yang mengambil masa 30 minit dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Jibril. Kereta diberhentikan ditepi jalan bagi memastikan Jibril dapat memberi sepenuh tumpuan. Pada akhirnya, tepat pukul 7.30 pagi, Jibril berjaya menghabiskan ayat terakhirnya pada surah al-Mursalat.
Kisah kejayaan Jibril banyak memberikan pengajaran dan membuka mata ramai orang. Usaha yang gigih dan tidak mengenal putus asa akhirnya membuahkan kejayaan yang manis. Penghafal al-Quran perlu berjiwa besar dan berani melakukan perubahan besar demi kejayaan yang besar. Usaha kita ada batasnya, tetapi kuasa Allah melampaui segalanya. Jangan pernah lupa untuk menjadikan Allah sebagai yang pertama dalam setiap usaha kita InnShaaAllah.