Hikmah Kenapa Al-Quran Itu Bersifat Liar

Surat dari Murabbi Saifullah buat Mujahid & Mujahidah AKMAL

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Wahai mujahid & mujahidah AKMAL, pejuang kalam Allah yang telah Allah pilih untuk memikul amanah besar ini,

Murabbi ingin berbicara dari hati ke hati. Antum bukan sekadar pelajar. Antum bukan sekadar anak-anak yang menghafal Al-Quran di AKMAL. Antum adalah penjaga kalam Allah. Antum adalah generasi pejuang yang Allah pilih untuk membawa wahyu dalam dada!

Tetapi, sebagai seorang pejuang, pasti ada ujian. Pernahkah antum merasa hafalan mudah hilang? Pernahkah antum berusaha sehabis daya, tetapi esoknya ayat itu terasa seperti baru pertama kali dihafal? Pernahkah antum tertanya-tanya, “Kenapa susah sangat nak ingat Al-Quran ini?”

Jika ya, murabbi ingin beritahu sesuatu yang besar:
Allah sedang memberikan perhatian khusus kepada antum!


Al-Quran Itu Seperti Seekor Unta Liar

Rasulullah ﷺ bersabda:

«تَعَاهَدُوا الْقُرْآنَ، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَهُوَ أَشَدُّ تَفَلُّتًا مِنَ الإِبِلِ فِي عُقُلِهَا»
“Jagalah Al-Quran ini! Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh ia lebih cepat hilang daripada seekor unta yang terlepas dari ikatannya.”
(رواه البخاري ومسلم – HR Bukhari & Muslim)

Apa maksudnya? Hafazan yang tidak dijaga akan hilang lebih cepat daripada seekor unta liar yang dilepaskan tanpa tali! Allah menciptakan sifat ini dalam Al-Quran supaya antum tidak lalai, sentiasa mengulang, dan terus-menerus memeliharanya dalam hati.

Cuba bayangkan, jika hafazan itu kekal dalam otak tanpa perlu diulang, mungkin antum akan rasa cukup dengan sekali hafal, kemudian antum tinggalkan. Tetapi Allah tidak mahu kita begitu. Allah mahu antum terus kembali kepada-Nya setiap hari!


Kenapa Allah Menjadikan Hafalan Ini Mudah Lupa?

Kerana Allah mahu memberi peluang pahala yang berlipat ganda
Rasulullah ﷺ bersabda:

«الَّذِي يَقْرَأُ القُرْآنَ وَهُوَ مَاهِرٌ بِهِ، مَعَ السَّفَرَةِ الكِرَامِ البَرَرَةِ، وَالَّذِي يَقْرَأُ القُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ، لَهُ أَجْرَانِ»
“Orang yang membaca Al-Quran dengan lancar akan bersama golongan para KIRAMIL BARARAH (malaikat yang mulia dan taat). Tetapi orang yang membaca dengan gagap dan terbata-bata, serta merasa sukar, baginya dua kali ganda pahala.”
(رواه البخاري ومسلم – HR Bukhari & Muslim)

Lihat! Orang yang mengulang dan bersusah payah dalam hafazan diberi lebih banyak pahala. Jadi, setiap kali antum rasa susah, itu tanda Allah sedang memberi pahala berlipat kali ganda untuk antum!


Kerana Allah mahu melatih kesabaran dan disiplin kita
Allah berfirman:

وَاصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

“Dan bersabarlah, kerana sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan pahala orang yang berbuat kebaikan.”
(سورة هود: ١١٥ – Surah Hud: 115)

Hafazan itu bukan sekadar ilmu dalam kepala, tetapi latihan jiwa. Jika antum boleh sabar dan istiqamah menghafal, antum sedang membentuk disiplin dan karakter seorang pejuang sejati!


Kerana Allah mahu kita selalu berinteraksi dengan Al-Quran
Allah berfirman:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُون

“Sungguh, Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang menjaganya.”
(سورة الحجر: ٩ – Surah Al-Hijr: 9)

Tapi bagaimana Allah menjaganya? Melalui hati para huffaz! Itulah sebabnya Allah jadikan hafalan mudah lupa, supaya antum selalu membacanya, selalu mengulangnya, dan selalu merasakan kemanisannya dalam hidup antum.


Bulan Ramadhan: Bulan Jihad, Bulan Marathon Huffaz!

Wahai mujahid & mujahidah AKMAL, Ramadhan kini tiba!

Ini bukan sekadar bulan ibadah biasa. Ini adalah bulan jihad! Ini adalah bulan di mana Rasulullah ﷺ dan para sahabat berjuang di medan perang Badar, di medan pembukaan Makkah! Dan antum? Antum sedang berada di medan jihad ilmu, medan Marathon Huffaz!

Besarkan kapasiti bayangan target antum! Jika sebelum ini antum hanya menghafal 2 muka surat sehari, bayangkan antum mampu menghafal 5, 7, atau 10 muka surat sehari! Jika sebelum ini antum hanya mampu mengulang 1 juz sehari, bayangkan antum mampu mengulang 3 atau 5 juz sehari!

Jangan sekadar fikir apa yang biasa antum lakukan. Fikirkan apa yang antum sangka mustahil, dan lakukan tindakan!

Kerana Al-Quran ini milik Allah.
Walau susah bagi kita, tetapi terlalu mudah bagi Allah untuk membantu kita!

Ucapkan dalam hati

“Ya Allah, aku ingin memaksimumkan Ramadhan ini untuk Al-Quran, dalam misi Marathon Huffaz, untuk menjadi hamba-Mu yang terbaik, untuk membawa Al-Quran dalam dadaku dengan lebih kuat lagi. Bantulah aku!”

Murabbi Sentiasa mendoakan antum.
Teruskan perjuangan! Break your limits!

Murabbi Saifullah, CEO AKMAL

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *