
Setiap pengorbanan pasti ada manisnya. Setiap kemanisan sudah pasti air mata menjadi saksi setiap perjalanan. Untuk menjadi seorang yang benar-benar berjaya, insan-insan hebat pasti menjadi tulang belakang yang paling ampuh.
Dari German ke Malaysia semata-mata untuk menjadi seorang hafiz Al-Quran. Kisah inspirasi ini bakal memberi satu pertanyaan yang cukup luar biasa tentang siapa, bagaimana dan kenapa? Kisah Mujahid Danial Yusuf bakal menjawab segala pertanyaan ini.
Danial Yusuf adalah anak kedua daripada tiga beradik yang berasal dari Kulim, Kedah tetapi membesar sepenuhnya di Dresden, Jerman. Kehidupannya di luar negara tidak menghalangnya daripada berusaha untuk mencapai matlamat besar dalam hidupnya. Pada mulanya, ibunya, Dr Azhana hanya berniat untuk memperkenalkan Danial kepada hafazan Al-Quran tanpa menjangka dia akan menghafal 30 juzuk sepenuhnya.
Perjalanan Danial dalam menghafal Al-Quran penuh dengan cabaran dan air mata. Pada mulanya, dia sangat struggle dan sering menangis setiap kali tidak dapat menyempurnakan rukun hafazan dengan baik. Namun, Danial mempunyai sikap tidak mudah berputus asa dan semangat yang cekal. Dia berusaha mencipta kemenangan kecil setiap hari, membina kejayaannya sedikit demi sedikit. Usaha ini mula membuahkan hasil apabila Danial berjaya memasuki top ranking dalam hafazan sabaq (hafalan baru)

Bersama Murabbiah Ain, Ibunda serta Datuk dan Nenek tercinta
Semangat Danial semakin membara apabila kakaknya, Hanna, berjaya khatam 30 juzuk Al-Quran. Secara tidak langsung memberi inspirasi yang besar kepadanya, sehingga prestasinya melonjak dan dia berjaya mencapai target menghafal 5 juzuk pada Marathon Huffaz 1.0 tahun 2023. Kemudian, dia mencipta rekod lagi dengan menghafal 5 juzuk pada Marathon Huffaz 2.0 tahun yang sama.
Pada bulan Jun 2023, Danial sudah berjaya menghafal 20 juzuk Al-Quran. Namun, keluarganya terpaksa pulang semula ke Jerman kerana semester baru akan bermula. Ibunya meminta Danial untuk segera menghabiskan hafazan Al-Quran di Malaysia, tetapi Danial tidak sempat menyelesaikannya sebelum pulang ke Jerman. Dia terpaksa kembali ke Jerman ketika sedang menjalani proses tasbit 25 juzuk. (Berhenti seketika di Juzuk 25. Pelajar perlu mengulang semula dari juzuk 1 sehingga 25 dalam tempoh yang tertentu. Setelah selesai, baru pelajar dapat menyambung hafalan baru mereka iaitu 5 juzuk yang berbaki.
Perjuangan Danial tidak berhenti di situ. Kesukaran terus menghampiri kerana perbezaan waktu antara Malaysia dan Jerman. Dia harus mengaji online pada jam 4 petang di Jerman sementara murabbiahnya di Malaysia mengajar pada jam 10 malam. Rutin ini dijalani setiap hari, di mana selepas balik sekolah, Danial akan terus mencapai Al-Quran dan menghafal, meskipun suhu musim sejuk di Jerman boleh mencapai -7 darjah Celsius. Pernah suatu hari, ibunya terkejut melihat Danial yang sedang mengaji di dalam selimut, tetapi rupa-rupanya tertidur .
“Siapa yang rasa, dialah yang paling memahami (apa yang dirasa)” -Ust Fakhrurazi Hussin
Setelah menyelesaikan proses tasbit, Danial kembali menghafal 5 juzuk yang berbaki dengan semangat yang luar biasa hasil dorongan dan motivasi dari ibunya serta murabbiahnya. Akhirnya, Danial berjaya menyempurnakan hafazan Al-Quran dengan baik. Pada satu hari, ketika mengaji juzuk pertama, ibunya memberitahu bahawa mereka akan pulang ke Malaysia untuk menghadiri Haflah Takrimi, sebagai tanda penghargaan atas usaha gigih Danial mencapai misi menjadi seorang Hafiz Quran.

Danial Yusuf bersama ibundanya Dr Azhana ketika Majlis Haflah Takrimi kali ke-5
Danial Yusuf dikenali sebagai seorang yang sangat berdisiplin dan bersemangat, sering menasihati rakan-rakannya untuk menjaga adab solat seperti masuk saf awal, meluruskan saf, dan tidak bising ketika iqamah. Keteguhan semangatnya adalah hasil didikan ibunya yang juga mempunyai semangat yang luar biasa. Walaupun menghadapi pelbagai ujian, Danial tidak pernah berputus asa dan sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik di mata ibunya dan gurunya.
“Alhamdulillah hujung tahun baru ini, kedua-dua anak saya (Hanna Batrisyia & Danial Yusuf) jadi best student dalam kelas dia (akademik)” -Dr Azhana
Danial Yusuf kini berjaya mendapat gelaran Al-Hafiz dalam tempoh kurang dari setahun, tepatnya 9 bulan dan 19 hari. Kejayaannya tidak lepas dari kerjasama dan pengorbanan besar ibu bapanya. Ibunya pernah mengalami kemalangan jalan raya sewaktu berulang-alik dari Pulau Pinang ke Shah Alam, tetapi tetap bersemangat demi memberikan semangat kepada Danial. Dr Azhana dan suami tercinta Cik Hamka sanggup berpindah ke Shah Alam dan menyewa di homestay berdekatan Masjid Munawwarah untuk memudahkan Danial bertemu dengan ibu bapanya setiap hujung minggu.
“Kita buat semua benda ini, semua dengan Hidayah Allah SWT. Baca Quran Allah bagi, kita dapat life hari ini pun Allah SWT, kita dapat sebarkan kebaikan pun Allah bagi, kita dapat anak yang nak hafal Al-Quran Allah jugak yang bagi. Ini semua Rahmat Allah SWT. Kita sebagai ibu ayah, kita usaha, selebihnya Allah SWT izinkan” -Dr Azhana
“Kita sebagai ibu bapa, kita yang perlu mulakan dengan diri kita… tanya balik kenapa kita nak sangat tengok anak kita Hafiz Al-Quran” -Dr Azhana
Alhamdulillah, kini kedua-dua anak kepada ibu bapa yang hebat ini sudah bergelar Al-Hafiz dan Al-Hafizah. Sudah tentu cabaran berbeza, tetapi matlamat dan harapan tetap sama. Ibu ayah mana yang tidak bangga melihat anak-anak mereka menjadi ahlulllah hafiz Al-Quran, hanya mereka perlu menunggu untuk tuai hasilnya di akhirat kelak InnShaaAllah. Di dunia ada bahagianya, di akhirat bahagianya mereka berkumpul di Syurga.
Hasrat terbesar AKMAL untuk membantu seramai mungkin menjadi Hafiz Al-Quran dalam masa satu tahun atau kurang. Jangan lepaskan peluang yang sangat berharga ini untuk melaburkan saham yang sentiasa untung tiada rugi iaitu anak-anak menjadi Huffaz Al-Quran.
https://hafizsetahun.com/ -Asrama dan Harian
https://tahfizonline.com/ -Online
https://hafizsetahun.com/infaq/ -Infaq Pembangunan AKMAL
SETAHUN MENEMPA SEJARAH!