
Al-Quran mukjizat teragung. Siapa yang memuliakannya maka dialah orang yang paling beruntung dan barangsiapa yang merendahkan yakni melupa-lupakan akan Al-Quran maka dialah orang yang paling rugi, bukan sahaja rugi bahkan hidup seseorang itu akan terasa kosong sekosongnya.
خَافِضَةٞ رَّافِعَةٌ ٣
Maksudnya: Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat).
Berlandaskan kepada tafsiran Surah Al-Waqiah ayat yang ke-3 di atas, ulama’ juga ada menafsirkan dengan penjelasan yang membawa maksud bahawasanya Allah SWT akan mengangkat (dengan Al-Quran) dan Allah SWT akan merendahkan (dengan Al-Quran) sesuatu kaum. Dengan sikap seseorang yang betul-betul menyanjung akan kemuliaan Al-Quran, Allah SWT akan mengangkat darjat mereka. Barangsiapa pula yang merendahkan atau membelakangkan Al-Quran, percayalah Allah SWT sendiri akan merendahkan mereka dengan penuh kehinaan.
Peperangan Uhud menjadi saksi bahawa Al-Quran menjadi kemuliaan ke atas orang yang menyanjungnya pada hari hidupnya. Ketika Baginda Rasulullah SAW ingin mengebumikan jenazah para syuhada’ Uhud yang mana di satu liang lahad tersebut diletakkan sekali semua para syuhada’, Rasulullah SAW bertanya, “Siapakah yang lebih banyak menghafal Al-Quran?”. Apabila ditunjuk dan ditunjuk, maka siapa yang lebih banyak hafalan Al-Quran diturunkan dengan maksud diutamakan dahulu ke dalam liang lahad oleh Baginda Rasulullah SAW.
Masa hidupnya sudah dimuliakan sebegitu, apatah lagi di akhirat kelak. Di dalam Hadith ada dinyatakan,“Wahai orang yang ahli dalam Al-Quran, beradalah kamu di akhirat di dalam darjat yang tinggi sampai dimana kamu membaca Al-Quran di dunia, pada darjat itulah nanti darjat kamu di akhirat”. Dikuatkan dengan petikan kata-kata Imam Ibn Al-Jazari di dalam kitab Syarah Taibah al-Nasyr:
وَأَنَّهُم فِي النَّاسِ أَهلُ اللهِ وَأَنَّ رَبَّنَا بِهِم يُبَاهِي
وَقَالَ عَنْهُم فِي القُرءَانِ وَكَفَى بِأَنَّهُ أَورَثَهُ مَنِ اصْطَفَى
Bahawa sesungguhnya mereka di kalangan manusia sebagai ahlullah
Sesungguhnya tuhan kami dengan mereka pasti berbangga
Dia berfirman tentang mereka dalam al-Quran dan memadai
Bahawa sesungguhnya Dia mewariskannya siapa yang terpilih.
Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) terus fokus dengan menghasilkan bukti-bukti kejayaan dalam membantu lebih ramai untuk bergelar Huffaz Al-Quran yang berkualiti serta professional. Usaha ini berterusan dan Alhamdulillah, sehingga hari ini telah ramai yang sudah berjaya untuk hafiz Al-Quran dalam tempoh atau kurang. Bukti-bukti kejayaan ini adalah hasil usaha semua pihak terutamanya 3 tunjang utama AKMAL iaitu parent, murabbi/ah serta anak-anak pelajar. Kejayaan-kejayaan ini juga dipaparkan di dalam laman sesawang rasmi https://hafizsetahun.com/ .
Menghidupkan hati yang mati bukanlah sesukar seperti yang disangka. Hanya berbalik seluruh kehidupan yang masih berbaki kepada Al-Quran. Usia yang ada tidaklah lama di dunia berbanding tahun-tahun yang mendatang di akhirat. Berbaktilah dengan Al-Quran, bersahabatlah dengan Al-Quran. Sedih apabila melihat keadaan dunia hari ini apabila ada yang merendahkan-rendahkan orang yang hidupnya diwakafkan untuk Al-Quran atau hafizul Quran. Jika tidak mampu untuk menjadi seorang penghafal Al-Quran, maka janganlah pula merendah-rendahkan mereka. Usahalah dengan kudrat yang ada, bagi ibu ayah yang ada kemampuan, hantarlah dan wakafkanlah anak-anak untuk menjadi seorang ahlul Quran. Bagi yang ada sahabat, sokonglah dan beri semangat sehingga berjaya bergelar Huffaz Al-Quran.
Huffaz Memimpin Dunia!