
Dua orang sahabat seperguruan berjaya tamatkan perjuangan dalam dunia Al-Quran mereka. Alhamdulillah dengan izin Allah SWT dan sifat Rahman dan Rahim Allah SWT, Mujahid Muhammad Hizbullah Bin Mohd Hafiz dan Mujahid Al Azhar Saifullah Bin Aziz berjaya melepasi ujian syahadah Al-Quran Kubra masing-masing pada 16 Mei 2024 (khamis) dan 17 Mei 2024 (jumaat).
Umum mengetahui bahawa ujian syahadah Al-Quran merupakan ujian yang tertinggi dalam dunia hafazan Al-Quran dan syahadah kubra merupakan ujian syahadah Al-Quran yang menguji para huffaz Al-Quran untuk membaca 30 juzuk Al-Quran dari kulit ke kulit dengan hafalan selama satu atau dua hari. Bukan mudah bagi sesiapa yang ingin melayakkan diri mereka untuk menyahut ujian ini dan sudah pasti kesungguhan dan pengorbanan pelajar itu sendiri menjadi kunci utama kepada kejayaan kepada ujian syahadah tersebut.
“Setiap manusia kadangnya ada yang turun semangatnya,ada yang naik. Dan saya pun ada juga tapi saya selalu buat yang terbaik, saya selalu buat apa yang ustaz minta walaupun saya down. Saya tetap berlakon semangat sebab saya taknak ustaz kecik hati” -Mujahid Hizbullah

Mujahid Hizbu dan Mujahid AlAzhar bersama sahabat-sahabat SYABAB AKMAL HQ TERENGGANU
Dua mujahid Al-Hafiz ini juga agak unik. Cerita di belakang lebih epik. Dikhabarkan bahawa mereka berdua ini saling lumba berlumba dan kejar mengejar untuk mendapatkan markah terbaik antara mereka berdua. Alhamdulillah dengan izin Allah SWT jua Mujahid Hizbu berjaya dengan markah 83% dan Mujahid Azhar pula berjaya memperolehi markah sebanyak 82% dalam ujian Syahadah Kubra yang diumumkan di dalam satu majlis yang diadakan pada 17 Mei 2024.

Mujahid Al-Azhar dan Mujahid Hizbullah bersama panel penguji Ustaz Fatah Fathuddin Bin Abd Rahman (Imam Masjid Sultan Muhammad Bukit Besar) dan Ustaz Ahmad Uwais Bin Asmadi (Imam Masjid Seberang Takir) serta Murabbi Halaqah Syahadah, Ustaz Fahmi
Dengan kecekalan dan segala dugaan yang ditempuhi oleh kedua-dua mujahid ini, mereka telah pun menuai hasilnya. Satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan apabila Mujahid Azhar dan Mujahid Hizbullah dapat selesaikan ujian syahadah Al-Quran mereka dengan cukup cemerlang seterusnya membanggakan Murabbi dan keluarga mereka. Lebih membanggakan, apabila Mujahid Azhar dapat menyempurnakan syahadah Sughra dan Kubra dalam tempoh 6 bulan 10 hari manakala mujahid Hizbu pula dalam tempoh 1 tahun 9 bulan 26 hari.
“Setiap perkara yang kita buat, jangan sesekali putus asa walaupun benda tu payoh (susah)” -Murabbi Fahmi
Murabbi adalah guru yang paling dekat dengan pelajar ketika sesi pembelajaran berlangsung. Didikan dan bimbingan yang tepat akan menghasilkan generasi huffaz Al-Quran yang hebat. Murabbi Fahmi adalah seorang guru syahadah yang sangat komited membimbing Mujahid Al Azhar dan Mujahid Hizbullah. Bertepatan dengan sambutan Hari Guru pada 16 Mei yang lalu, ia merupakan hadiah terbesar buat Murabbi Fahmi daripada anak pelajarnya.

Mujahid Al-Azhar bergambar kenangan bersama Ibunda dan adik beradiknya
Mujahid Hizbullah dan Mujahid Al-Azhar sudah menempah tiket emas ke pentas Haflah Takrimi 2024 yang akan berlangsung pada 1 Jun 2024 di dewan konvensyen Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu nanti. Berbaloi dengan usaha yang penantian mereka, mereka berdua dan berpuluh-puluh al hafiz dan al hafizah lainnya akan menjejakkan kaki di pentas yang penuh berprestij itu nanti. Didoakan agar Mujahid Hizbullah dan Mujahid Al-Azhar terus dapat menjaga kalamNYA dan berjaya dalam kehidupan selepas ini nanti InnShaaAllah.