Institusi Tahfiz Lebih PAK-21 Daripada Sekolah Kebangsaan? – Edufluencers KPM

Ya, inilah yang saya ingin kongsikan dengan semua. Benda bagus, buat apa nak simpan. Beberapa hari lepas saya dijemput untuk menyampaikan ceramah dalam satu program kursus pemantapan guru tahfiz al-Quran Amalillah (AKMAL) di Terengganu. Institusi tahfiz yang mula beroperasi pada tahun 2017 ini kini mempunyai 4 cawangan yang terletak di Marang (HQ), Batu Pahat, Bukit Beruntung dan Shah Alam.

Apa yang membuatkan pusat tahfiz ini berbeza dan unik daripada pusat tahfiz lain yang ada di Malaysia ialah sistem dan teknik “FAST TRACK TAHFIZ STRATEGY” yang digunakan untuk mensasarkan pencapaian pelajar untuk menjadi hafiz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh hanya SETAHUN! Yang lebih menakjubkan, ada pelajar yang boleh menamatkan 30 juzuk dalam tempoh kurang 6 bulan. Menarik bukan? Peluang bertemu dengan pihak pengurusan dan guru-guru tahfiz AKMAL digunakan sebaik mungkin oleh saya untuk ‘mengorek’ apakah rahsia yang menjadikan institusi tahfiz ini begitu hebat.

Setelah mendapatkan info tentang pusat tahfiz ini, saya berpendapat bahawa AKMAL patut dijadikan contoh oleh #KPM dalam melaksanakan Pembelajaran Abad Ke-21 di sekolah-sekolah kebangsaan. Walaupun pihak pengurusan AKMAL dan guru-gurunya tidak tahu apakah itu PAK-21, tapi bagi saya sistem pendidikan di AKMAL lebih PAK-21 daripada sistem yang ada di sekolah-sekolah kebangsaan.

Berikut merupakan beberapa maklumat yang saya ingin kongsikan apakah sistem pengurusan yang berjaya mengangkat AKMAL sebagai sebuah institusi tahfiz yang cemerlang (dapat membuka 4 cawangan dalam tempoh masa 2 tahun dan telah melahirkan ramai pelajar hafiz yang luar biasa).

Had bilangan pelajar dalam sebuah kelas.
AKMAL mengamalkan sistem kualiti bukannya kuantiti. Bilangan pelajar dalam sebuah kelas dihadkan sebanyak 8 hingga 10 orang sahaja. Tidak lebih daripada itu. Menurut CEO AKMAL sendiri, bilangan pelajar di dalam kelas ditentukan seperti ini untuk menjamin kualiti pembelajaran dan memberi peluang kepada guru-guru untuk fokus kepada setiap pelajar dengan sebaiknya. Di sekolah kebangsaan? Ermmm…Nak melaksanakan PAK-21, tapi ada kelas yang bilangan pelajarnya mencecah sehingga 40 – 50 orang. Macam mana tu?

Amalan ‘Qailullah’ atau ‘Power Nap’.
Qailullah atau power nap ialah amalan tidur sekejap sebelum zohor yang disarankan dalam islam untuk membantu mengembalikan kecergasan otak dan badan. Di AKMAL, semua guru dan pelajar dibenarkan untuk tidur sebentar menjelang tengah hari supaya otak dapat mengekalkan fokus dalam proses pembelajaran. Kat sekolah kebangsaan? Kalau tidur sekejap, siap lah cikgu. Kena cop kaki tidur pulak nanti. Hahahaha.

Untuk pengetahuan, amalan ‘power nap’ ni sebenarnya turut diamalkan oleh sistem pendidikan di negara Jepun. Sebab tu pendidikan di Jepun maju. Kalau nak tahu, amalan power nap ni sebenarnya boleh boost kita punya memori, meningkatkan kemahiran berfikir, menjadikan seseorang lebih kreatif dan meningkatkan tenaga seharian. Ok, jom tido. Hehe.

Pengurusan psikologi dan motivasi
Setiap guru di AKMAL perlu memastikan motivasi pelajar sentiasa ‘fresh’ setiap hari. Guru ditekankan untuk tidak hanya fokus kepada hafalan semata-mata. Sebelum memulakan kelas, guru perlu memberi motivasi, melakukan aktiviti yang dapat membantu meningkatkan fokus pelajar di dalam kelas dan mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Guru diberi peluang dan kebebasan untuk memilih kaedah dan pendekatan yang dirasakan bersesuaian dengan pelajar masing-masing. Menurut pihak pengurusan AKMAL, sesi motivasi setiap hari ni dilihat amat berkesan dalam membantu mengekalkan prestasi pelajar mereka dalam mencapai sasaran yang dikehendaki.

Walaupun banyak lagi rahsia hebat yang dikongsikan dengan saya seperti amalan pemakanan pelajar yang sentiasa dijaga, penekanan kepada pengurusan masa, penggunaan modul yang berkesan dan banyak lagi, namun saya hanya kongsikan tiga perkara di atas sahaja yang bagi saya amat baik jika dapat dijadikan sebagai contoh dan ikutan dalam sistem pendidikan di sekolah-sekolah kebangsaan untuk meningkatkan kualiti dan kemajuan pendidikan negara. Semoga bermanfaat. Sekian, terima kasih.

Di bawah ini saya kongsikan pautan facebook Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) jika ada yang nak berkenalan. 

https://www.facebook.com/akademialquranamalillah/

Sumber:-
Mohd Ridzuan Md Nasir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *