Hadiah Birthday Buat Ustazah, Asma Hafiz 30 Juzuk dalam Tempoh 6 Bulan 20 Hari

Alhamdulillah, tanggal 7 Oktober 2019 adalah hari paling bersejarah buat kami di Tahfiz Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) dan Hari bersejarah buat Asma binti Mohammad yang kini bergelar Al Hafizah dalam usia 12 tahun.

Asma Anak Seorang Pendakwah

Anak ke 3 Ustaz Muhammad, seorang pejuang agama dan pendakwah terkenal yang lebih dikenali dengan Ustaz Mad China. Sabaq terakhirnya akhir surah Al Jasiah melengkapkan hafalan 30 juzuk Al-Quran dalam masa 200 hari bersamaan dengan 6 bulan 20 hari.

Segala penat lelah dan kesusahan yang ditempuh selama ini terasa sangat berbaloi. Pelajar sesi 2019 Tahfiz Akademi AKMAL Shah Alam yang pertama khatam 30 juzuk Al-Quran.

Paling istimewa hari ini juga adalah hari lahir Ustazah Ummi Umairah. Ustazah yang diberi amanah untuk mendidik dan mendengar hafalan dan ulangan Asma setiap hari.

Alhamdulillah, hadiah hari lahir yang sangat istimewa dari Asma kepada gurunya. Memang sebelum ini Asma selalu sebut dia akan khatam 30 juzuk Al-Quran pada hari lahir Ustazah Ummi.

Asma adalah pelajar yang sangat bersemangat. Sentiasa focus di dalam kelas. Sekali dia memegang Al-Quran seolah-olah dia berada di dunia lain. Hanya dia dan Al-Quran. Waktu-waktu lain dia ceria bermain seperti kanak-kanak biasa.

Kelemahan Asma

Asma mudah lupa hafalan-hafalan yang lama. Dalam kelemahan itu, Asma tidak lemah semangat, dia sentiasa tabah dan terus berusaha walaupun sentiasa dimarahi oleh Ustazah Ummi supaya menjaga hafalan lama dan menjaga adabnya dengan guru dan Al-Quran. Marah kerana sayang, barangkali itulah antara punca berkat dari Allah yang menjadikan Asma sentiasa focus dan bersemangat.

Pernah sekali setelah memasuki juzuk ke 16, Asma seolah-olah hilang punca dan semangat. Selalu dia mengadu susah menghafal dan dalam masa yang sama menjaga hafalan yang lama. Kadang-kadang menangis sendirian di meja kecilnya. Keadaan ini berlarutan hampir sebulan. Ditambah lagi dengan sifat Asma yang sangat berahsia dan memendam masalahnya seorang diri. Dia tidak akan luahkan masalahnya pada sesiapa hatta gurunya sendiri. Kadang-kadang dia seperti ingin luahkan tapi tak terkeluar dari mulutnya. Tidak pandai meluah barangkali.

Alhamdulillah, Asma sangat beruntung kerana mendapat guru yang sangat bersabar dan tak pernah berhenti dan putus asa memberi dorongan dan semangat untuk Asma. Ustazah Ummi pandai mencari punca masalahnya walaupun tidak diberitahu oleh Asma. Akhirnya dia bangkit kembali. Kali ini dia memecut seolah-olah pecutan minit terakhir pelari lumba lari yang mengejar garis penamat.

Kata Ustazah Ummi “saya pun tak sangka dia betul-betul berusaha kejar khatam pada hari lahir saya. Saya ingat dia bergurau, rupanya dia buat betul-betul!”. Inilah antara rahsia sistem Tahfiz Akademi AKMAL. Guru bukan sahaja fokus mengajar, tetapi menjadi murabbi yang berkongsi rasa susah dan senang. Yang sentiasa susah hati jika pelajarnya ada masalah.

Jutaan tahniah kepada Ibu bapa Asma, Ustaz Mad China dan Ustazah Roslina yang berkongsi peranan paling besar kepada Asma. Tak dilupakan guru-guru yang lain serta kawan-kawan Asma yang sentiasa membantu Asma pada waktu senang dan susah.

Penghargaan paling tinggi juga kepada En Hajar Asqalani dan insan-insan dermawan yang lain yang membantu menaja pengajian Asma pada saat keluarga Asma menhadapi masalah kewangan.

Semoga setiap patah bacaan Al-Quran Asma sepanjang hidup akan mengalirlah juga pahala buat kalian semua.

Tahniah Asma!!. Stage pertama sudah selesai. Kini stage kedua untuk mengambil syahadah dan meningkatkan kualiti bacaan dan ingatan menanti di hadapan. Selamat menjadi ahli Al-Quran sepanjang hidup.

#MissionComplete
#AlQuranRahsiahHidupku
#Hafizsetahun
#AkademiAKMAL
#Done30JuzAlQuran

Berminat utk join Akademi AKMAL
Layari website kami di
www.hafizsetahun.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *