3 SEBAB TAHFIZ AKMAL MEMILIH PELAJAR DALAM MENCAPAI MISI HAFIZ

Baru-baru ini tular satu video dari seorang Ustaz yang dikatakan membuat teguran kepada sekolah tahfiz mengenai sistem temuduga pelajar tahfiz. Dakwanya ada sekolah tahfiz yang membuat proses temuduga dan hanya menerima pelajar yang telah pandai membaca Al-Quran sahaja untuk diterima masuk atas alasan menjaga reputasi sekolah. Situasi ini dakwanya seolah-olah menghalang pelajar yang minat untuk belajar Al-Quran sekaligus mempersoalkan niat sekolah-sekolah yang mengadakan sistem temuduga ini.

Dalam satu sudut, dakwaan Ustaz tersebut ada kebenarannya. Kita tidak sepatutnya seolah-olah memadamkan niat dan keinginan pelajar atau ibu bapa yang inginkan anak-anaknya belajar Al-Quran. Menjadi satu tanggungjawab yang utama bagi mereka yang pandai Al-Quran atau ilmu-ilmu Al-Quran untuk mengajarkannya kepada orang lain. Akan tetapi dari sudut yang lain juga perlu dilihat kepada beberapa aspek yang penting mengapa temuduga itu satu keperluan dan juga sebagai kayu ukur pemilihan dalam kemasukan seseorang pelajar dalam sesuatu institusi tahfiz.

“Majlis Haflah Takrimi kali ke 3, yang berlangsung di Stadium tertutup Gong Badak, Terengganu.”

Perlu untuk difahami bahawa setiap institusi pendidikan khususnya sekolah-sekolah tahfiz ini ada objektif penubuhannya yang tersendiri. Walaupun objektif paling utama setiap sekolah tahfiz adalah meramaikan seramai mungkin generasi penghafal Al-Quran. Dalam masa yang sama masing-masing mempunyai capaiannya targetnya yang tersendiri bergantung kepada sistem dan cara pengajian yang ditawarkan. Kepelbagaian sistem dan pendekatan ini menjadi satu rahmat dan pelengkap antara satu dengan yang lain. Ianya tidak sepatutnya dilihat sebagai competitor antara satu dengan yang lain dan bukanlah satu perkara yang negatif malah sebenarnya menjadi satu tawaran pilihan yang pelbagai yang boleh dipilih oleh setiap ibu bapa yang inginkan anak-anak mereka menjadi hafiz dan hafizah 30 juzuk Al-Quran.

Menguji Minat

Dalam kes AKMAL, AKMAL mewajibkan setiap pelajar untuk menjalani sesi temuduga terlebih dahulu sebelum diberi peluang belajar di AKMAL. Tujuan utama temuduga ini ialah untuk menilai sejauh mana minat dan seriusnya pelajar terbabit dalam keinginannya untuk menghafal Al-Quran. Oleh kerana sistem AKMAL ialah menghafal 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh satu tahun. Maka minat dan kehendak untuk menghabiskan hafalan dalam tempoh satu tahun adalah satu perkara yang paling penting untuk dinilai. Tanpa minat dan kehendak yang tinggi, bukanlah mustahil untuk mencapai target yang telah disusun tetapi pastinya akan mengambil masa yang agak lama khususnya untuk menanam minat sahaja.

“Sesi Interview bersama COO AKMAL, Ustaz Fakhrurrazi”

Malah sewaktu temuduga kemasukan pelajar, para pelajar akan diasingkan dengan ibu bapa. Temuduga khusus hanya bersama para penemuduga. Di AKMAL, temuduga juga adalah satu modul khas dalam sistem AKMAL. Waktu temuduga adalah waktu motivasi eksklusif antara pelajar dan guru. Saat inilah minat pelajar diteroka dalam-dalam. Banyak kes berlaku, Ketika ditanya betul-betul, baru pelajar itu mengaku yang dia tidak minat untuk menghafal Al-Quran. Hanya ibu bapanya sahaja yang beria-ria untuk menghantarnya ke sekolah tahfiz. Nah, pada ketika inilah, penemuduga akan menggunakan sepenuh kepakarannya untuk memberi motivasi dan mengubah mindset pelajar supaya dia menjadi minat dan mempunyai kehendak yang tinggi untuk menghafal Al-Quran.

Selepas sesi ini, ada pelajar yang terus mengubah mindset mereka menjadi minat dalam masa yang sama, ada juga yang masih berkeras untuk mengatakan lebih minat untuk mendalami bidang ilmu yang lain selain bidang tahfiz. Bagi mereka yang benar-benar minat, mereka akan ditemuduga ke peringkat seterusnya iaitu bacaan Al-Quran. Bagi yang tidak minat, sesi perkongsian dengan ibu bapa pula akan diadakan. Perbincangan khas dilakukan supaya ibu bapa dapat mengambil tindakan seterusnya supaya jika mereka benar-benar inginkan anak-anak mereka menjadi penghafal Al-Quran, ada banyak perkara yang harus dilakukan supaya anak-anak mereka berubah fikiran.

Semua yang dilakukan ini bukan untuk menghalang anak-anak atau ibu bapa mendalami bidang Al-Quran. Tapi demi membantu mereka untuk mengikut proses yang sepatutnya dalam mendalami bidang Al-Quran. Paksaan semata-mata pastinya hanya akan memburukkan keadaan.

Penilaian bacaan Al-Quran

Sesi kedua selepas pelajar lulus penilaian minat menjadi seorang Al-Hafiz ialah sesi ujian bacaan Al-Quran. Sebagaimana yang dimaklumkan tadi, sistem utama AKMAL ialah membantu para pelajar untuk menjadi Hafiz 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh satu tahun. Oleh kerana itu, ada proses yang seharusnya menjadi keutamaan khususnya dalam aspek sudah mampu membaca Al-Quran dengan baik atau belum.

“Sesi memujuk dari guru untuk pelajar lebih berminat untuk menghafal al Quran, bukan hanya sebab ibu bapa yang bersungguh nak anak menjadi Hafiz al Quran”

Penilaian ini bukanlah untuk menghalang pelajar untuk mendalami Al-Quran. Akan tetapi untuk membantu mereka khususnya dalam misi mencapai target mereka menghafal dalam masa yang sepatutnya. Bagi yang mereka yang lulus ujian bacaan Al-Quran, mereka akan terus ditawarkan mengikuti pengajian dan latihan di AKMAL. Manakala bagi mereka yang belum pandai membaca Al-Quran dengan baik. Satu sesi khas bersama ibu bapa juga akan diadakan supaya mereka mengambil langkah drastik untuk memastikan anak-anak mereka dapat membaca Al-Quran dengan baik dengan mengikuti pengajian khas Al-Quran di mana-mana pusat pengajian Al-Quran dan guru-guru Al-Quran pilihan mereka. Sesi khas ini juga adalah sesi motivasi khas. Dengan minat yang telah ada ditambah dengan motivasi khas untuk memastikan mereka pandai membaca Al-Quran dengan baik menjadikan mereka lebih bersemangat selepas sesi temuduga dan bukanlah menjadikan mereka putus asa dan mempunyai mindset gagal ujian temuduga.

 

Peluang Temuduga Berulang Kali

Alhamdulillah. AKMAL sentiasa menggunakan pendekatan membuka peluang temuduga berulang kali. Puluhan pelajar AKMAL di semua cawangan AKMAL yang berjaya khatam 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh setahun atau kurang asalnya ada pelajar yang tidak berjaya dalam temuduga kali pertama. Selepas seolah-olah tidak berjaya pada temuduga kali pertama, mereka pulang dengan semangat berkobar-kobar untuk temuduga kali kedua. Malah ada yang pernah temuduga kali ketiga barulah lulus dengan cemerlang dan akhirnya berjaya mengiktuti pengajian di AKMAL dan berjaya khatam 30 juzuk Al-Quran.

“Sekitar Majlis Temuduga bakal Pelajar AKMAL”

Pernah berlaku seorang pelajar berusia 10 tahun dari Gombak, Selangor. Ketika temuduga kali pertama di Terengganu, dia hanya menyatakan minat menghafal 3 juzuk sahaja. Puas penemuduganya memujuk dan memberi motivasi untuk meletakkan mindset minat menghafal sehingga 30 juzuk tetapi dia tetap berkeras hanya minat menghafal 3 juzuk sahaja. Selepas sesi khas dengan ibu bapanya, selang 3 minggu dia dan ibu bapanya Kembali ke Terengganu dan menyatakan minat yang kuat untuk menjadi Hafiz 30 juzuk Al-Quran. Alhamdulillah berkat kesungguhannya dengan bimbingan AKMAL dan pertolongan Allah, beliau berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh 10 bulan.

Jelas sekali, di AKMAL temuduga bukanlah bertujuan untuk menyekat atau menghalang pelajar mendalami Al-Quran, tetapi sebagai satu modul khas untuk membantu mereka mengikuti proses yang betul dan menjadi seorang hafiz 30 juzuk Al-Quran yang berkualiti.

Had Pengambilan Pelajar

Terdapat juga sekolah-sekolah tahfiz yang mengambil pendekatan mengenakan had tertentu dalam soal pengambilan pelajar. Kebiasaannya isu had pengambilan ini adalah kerana fasiliti yang terhad. Bukan sesekali untuk menghalang pelajar untuk mendalami Al-Quran. AKMAL pernah membuka ruang kemasukan melebihi had yang sepatutnya. Akhirnya kesesakan pelajar berlaku khususnya di asrama, ruang kelas dan sebagainya. Ketidakselesaan yang berlaku mengakibatkan prestasi pengajian juga tergugat. Pelajar tidak mendapat tidur dan rehat yang berkualiti. Fasiliti tandas tidak mencukupi menyebabkan pergerakan pelajar menjadi lambat dan rutin disiplin pelajar juga terganggu. Kesemua ini pastinya mengganggu sistem yang telah disusun untuk membantu pelajar mencapai target dalam masa yang sama akan menimbulkan masalah tidak puas hati di kalangan para penjaga juga.

Memanglah boleh diusahakan penambahan bangunan dan sebagainya, akan tetapi semua itu tidak boleh dilakukan dalam masa satu malam. Ianya memakan masa dan tenaga. Sementara siap bangunan, berapa banyak masa berkualiti telah dikorbankan sedangkan masa tersebut boleh dijadikan masa yang berkualiti untuk pengajian pelajar khususnya bagi sekolah tahfiz yang sentiasa mengejar target seperti AKMAL.

Keikhlasan

Antara perkara yang sepatutnya menjadi keutamaan para pendidik dalam bidang Al-Quran saat ini ialah saling sokong menyokong antara satu dengan yang lain. Jadikan kepelbagaian sistem dan pendekatan dalam bidang tahfiz ini adalah (complimentary) saling lengkap melengkapi antara satu dengan yang lain. Pendekatan mempertikaikan keikhlasan sesebuah sekolah atau sesuatu sistem dan pendekatan yang dilakukan tidak seharusnya berlaku. Dalam pengalaman kami, tidak ada satu pun sekolah tahfiz yang meletakkan keuntungan material sebagai matlamat. Malah tidak pernah kami jumpa orang yang kaya dengan menjadi pengusaha sekolah tahfiz. Ramai yang mengorbankan kewangan sendiri untuk memastikan pusat tahfiz mereka dapat terus bertahan dengan baik.

“Pelajar-pelajar yang diraikan didalam Majlis Haflah Takrimi yang berjaya menamatkan Hafazan 30 Juzuk al Quran.”

Semua pihak mempunyai target, objektif, pendekatan, cara dan sistem yang tersendiri yang semuanya adalah istimewa dan baik. Sesuai atau tidak bergantung kepada penerimaan market pelajar yang akan mendaftar masuk. Kepelbagaian yang ada sudah tentu mewujudkan pilihan yang ada sesuai dengan latarbelakang yang berbeza. Segala kekurangan yang berlaku kita saling tampung menampung antara satu dengan yang lain. Apa yang penting, kita dapat meramaikan seramai mungkin generasi penghafal Al-Quran demi landskap kualiti akhlak dan generasi masa hadapan yang lebih cerah dengan keberkatan Al-Quran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *