Budak Tahfiz Tiada Masa Depan Dan Sia-Sia? Syafi Buktikan Sebaliknya

Skeptikal segilintir yang mengatakan bahawa menjadi seorang Hafiz Al-Quran adalah sia- sia dan tiada masa depan adalah sangat tidak wajar dijadikan bahan untuk melemahkan semangat dan hasrat ibu bapa yang berimpian menjadikan anak-anak mereka bergelar Hafiz dan Hafizah Al-Quran.

Kisah inspirasi Muhammad Syafi Bin Mohd Sufian, seorang alumni berharga Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) yang dikongsikan oleh bapa beliau beberapa hari lepas wajar dijadikan contoh. Menurut satu perkongsian yang dimuat naik oleh bapa Muhammad Syafi (Abu Syafi) di laman Facebook membuktikan bahawa Syafi telah dijemput menjadi Imam terawih jemputan di sekitar Setiu, Terengganu. Ia merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan hasil didikan cemerlang Ibu dan Bapa Muhammad Syafi sendiri.

Muhammad Syafi telah memulakan perjalanan menghafal AL-Quran pada bulan Februari 2022 dan berjaya bergelar Hafiz Al-Quran di AKMAL pada tanggal 22 Januari 2023 dengan tempoh yang direkodkan hanya 7 bulan 17 hari pada umur 11 tahun. Satu lagi pencapaian yang sangat berharga bagi Muhammad Syafi melalui sistem dan kaedah di AKMAL apabila Syafi berjaya mengkhatamkan Al-Quran dalam tempoh kurang setahun sahaja.

Saat Syafi menerima watikah amanah pada 1 Februari 2022 lagi air mata umi dah mula bergenang dan menitis. Tetapi pada 22 Januari 2023 air mata umi deras mengalir. Ya Allah anakandaku Syafi sudah berjaya kotakan janjinya pada Abi dan Umi. – FB Ibunda Syafi (Sabariah Taip)

Satu kerisauan juga yang dilontarkan oleh ayahanda Muhammad Syafi apabila Syafi telah bergelar Hafiz Al-Quran, bagaimanakah Syafi hendak mengekalkan hafalan tersebut? Selepas menamatkan perjalan Al-Quran di AKMAL seterusnya bergelar alumni AKMAL, Syafi sendiri memutuskan untuk tidak menyambung Syahadah di AKMAL tapi Syafi sendiri juga berjanji untuk menyambungnya pada masa akan datang. Muhammad Syafi meneruskan perjalanan untuk mengambil UPKK terlebih dahulu sebelum menjalani sesi akademik Sekolah Kebangsaan LKTP Chalok Barat, Setiu Terengganu.

Muhammad Syafi ketika menjadi Imam Terawih Jemputan baru-baru ini

Katanya mahu menduduki peperiksaan UPKK terlebih dahulu di samping merindui kawan-kawannya di SK Chalok Barat setelah setahun berpisah. Dalam waktu yang sama dia (Syafi) meminta saya menjadi guru tasmiknya di rumah dan di sekolah pada waktu awal pagi dan selepas zuhur. Saya dah runsing takut tak sempat atas kekangan masa dan komitmen lain. Pada sebelah malam saya memohon Murabbiyyahnya di AKMAL dulu membantu secara online. -FB Ayahanda Syafi (Abu Syafi)

Satu komitmen yang luar biasa yang ditunjukkan oleh ibu bapa dan Murabbiyah kepada Muhammad Syafi di AKMAL iaitu Murabiyyah Salina. Walaupun Syafi sudah ‘meninggalkan’ AKMAL, namun rasa tanggungjawab beliau untuk menjaga Al-Quran di dalam dadanya menjadi pembakar semangat untuk beliau tetap mencari guru untuk tasmik ulangan dan sebagainya. Murabbiyah Salina juga menunjukkan komitmen yang sangat tinggi untuk membantu Syafi menjaga hafalan Al-Qurannya walaupun Syafi sudah tidak bergelar pelajar di AKMAL lagi.

Berkat hafalan Al-Quran dan semangat untuk terus menjaga kalamNYA, Syafi juga telah berjaya meraih tempat ketiga dalam Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) KPM peringkat Negeri Terengganu. Ternyata, perjalanan Al-Quran bagi seorang yang bergelar Hafiz Al-Quran bukanlah terhad kepada satu jalan sahaja malah ‘jalan’ yang Allah SWT akan tunjukkan kepada sesiapa sahaja yang menghafal dan menjaga Al-Quran itu lebih luas dan sudah terjamin rezekinya disisi Allah SWT.

Muhammad Syafi berjaya meraih tempat ke-3 dalam MQSS peringkat Negeri Terengganu

Alhamdulillah.. Kecik bukan sebarang kecik, tapi kecik-kecik pun dah Hafiz 30 Juzuk Al-Quran. Saya tumpang happy. Anak-anak AKMAL, anak-anak kesayangan saya. -Ustaz Saifullah Hussin (CEO AKMAL)

Itulah kisah Muhammad Syafi. Kisah yang penuh warna-warni. Kisah yang menghidupkan hati. Ternyata, setiap orang mampu untuk menghafal Al-Quran tetapi bukan semua mampu teguh menjaga Al-Quran. Syafi telah membuktikan bahawa umur yang muda bukan penghalang untuk bergelar seorang Hafiz Al-Quran, dengan sistem, strategi, komitmen ibu bapa dan komitmen guru menjadi asbab untuk bergelar Hafiz Al-Quran ibarat permata yang bersinar. AKMAL meramkamkan setinggi ucapan tahniah kepada Muhammad Syafi kerana berjaya membuktikan dapat bergelar Hafiz Al-Quran dalam tempoh kurang daripada setahun dan dapat berbakti kepada masyarakat dengan cemerlang.

Semoga Muhammad Syafi terus diberi kemudahan dalam menjaga kalamNYA, diluaskan rezeki dimana sahaja dan diberi peluang untuk berbakti kepada ibu bapa, keluarga dan masyarakat InnShaaAllah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *