Alhamdulillah hanya kata-kata pujian syukur pada Allah yang tidak terhingga. Setelah melalui saat getir penuh mencabar selama 215 hari bersamaan 7 bulan 5 hari. Akhirnya pada 23 Safar 1441 H bersamaan 22 Oktober 2019, Muiz kini bergelar Al-Hafiz. Perjuangan yang bukan mudah bagi anak kecil berusia 11 tahun ini. Ahmad Muizzudin bin Mustafa Kamal Al-Hafiz. Satu susunan nama yang menjadi impian ibu bapanya sejak dahulu kini menjadi kenyataan.

Muiz sama sepertimana kanak-kanak pelajar AKMAL yang lain. Kuat bermain dan suka bergurau serta menyakat. Jarang dia tak bermain di padang setiap kali habis waktu kelas jam 5 petang. Kadang-kadang kalau tak ke padang pun, dia akan berlari-lari bergurau di sekitar taman dan asrama sehingga basah berpeluh. Walaupun suka bermain, di dalam kelas dia sangat fokus. Sehingga Muiz Berjaya Hafiz 30 Juzuk Al-Quran dalam Tempoh 7 Bulan
KELAMAHAN MUIZ DALAM MENGHAFAL
Muiz ini jenis orang yang suka berfikir. Walaupun umurnya masih muda, tetapi dia agak matang kalau bab menghafal Al-Quran. Dia tahu apa yang dia buat dan apa yang perlu dia buat.
Kelemahan Muiz ini pada ketika mula-mula menghafaz Al-Quran dulu, dia sangat susah untuk menghantar Sabaqnya (hafalan baru) dengan lancar. Selalunya tak lepas dan pasti akan diarahkan kembali ke tempat duduknya jika dia menghantar sabaq. Tetapi Muiz tidak mudah berputus asa, dia berjaya lalukan yang terbaik dalam mengejar cita-citanya.
1- Ketabahan yang luar biasa
Kadang-kadang sampai empat atau lima kali hantar barulah lepas. Tetapi bila selalu ditegur dan diberi peringatan, semakin lama semakin baik bacaan Muiz. Sabaq juga semakin lancar. Selagi tak lancar hafalannya pada satu-satu ayat, selagi itulah dia tak akan teruskan kepada hafalan ayat lain walau terpaksa mengulangnya sehingga beratus kali. Dia tidak mudah putus asa!. Dia sangat faham, jika Sabaq tidak lancar, Sabqinya (Ulangan Baru) juga akan jadi tidak lancar. Jika Sabqi tidak lancar, Mukhtar Khatamnya (Ulangan juzuk yang baru khatam) akan bermasalah. Jika Mukhtar Khatamnya bermasalah pasti Manzilnya (Ulangan Juzuk lepas) akan habis tunggang langgang.
2- Sanggup mengorbankan waktu bermain
Alhamdulillah, Muiz menjaga rukun hariannya dengan baik. Hasil dari fokusnya pada Sabaq hariannya. Selagi tak dapat Sabaq dan target harian dia, selagi itulah dia akan terus berusaha. Kelemahan yang ditukar menjadi kelebihan buat Muiz. Selalu juga dia akan terus baca hafalannya walaupun sudah habis waktu kelas. Di asrama saat pelajar-pelajar lain sibuk bermain, dia masih setia di katilnya membaca Al-Quran. Kalau bising sangat dia akan duduk di bawah lampu di luar asrama. Kadang-kadang waktu petang dia akan baca di tepi padang bola saat pelajar lain bermain. Pendek kata selagi tak dapat, dia tak akan berhenti.
3- Sentiasa POSITIF dan memohon DOA dari Guru
Muiz juga pandai mencari cara untuk memotivasikan diri sendiri bila berhadapan dengan kesusahan dalam menghafal. Kata guru Al-Qurannya Ustaz Nuzul “Muiz selalu cakap pada saya, Ustaz, ayat ni susah laa..Ustaz doakan saya dapat baca ayat ni dan sabaq banyak-banyak ya!. itu antara perkataan yang selalu dia akan dia cakap pada saya”. Kata Ustaz Nuzul lagi, “ kalau dia tanya macam tu biasanya saya akan jawab – Muiz cuba dulu dan selebihnya Allah yang bagi”. Pesanan positif dan penuh kasih sayang dari Ustaz Nuzul selalu menjadi penguat semangat buat Muiz. Pasti Muiz tahu, doa penuh ikhlas dari seorang guru adalah sangat mustajab dan penting bagi seorang murid. Kerana itulah dia menjadikannya sebagai senjatanya yang paling ampuh.

Muiz bersama Guru dan rakan sekelas yang sentiasa memberi semangat
4- Guru Murabbi, yang berjaya mencungkil Rahsia kekuatan Muiz
Muiz juga jenis tahan kena marah. Kena marah macam mana pun dia selalu akan positif. Kadang-kadang kalau teruk sangat kena marah, merajuk juga dia membawa hati. Kata Ustaz Nuzul, “kalau nampak dia merajuk, saya akan pujuk cepat-cepat dan ambil hati dia balik. Merajuk ni tak boleh biar lama-lama, nanti terbuang masa berkualiti untuk mengulang dan hafal Quran”. Pandai juga Ustaz Nuzul ambil hati budak-budak walaupun masih belum kahwin. Hehehe..
Inilah dia antara kejayaan sistem AKMAL. Guru yang bersifat Murabbi dan penyayang. 70 peratus kejayaan seseorang pelajar di AKMAL terletak pada usaha gurunya yang sentiasa tamak akan kejayaan anak didiknya dan sentiasa susah hati jika pelajarnya tidak berjaya dalam tugasan hariannya.
5- Sifat CEMBURU dengan kejayaan rakan-rakan
Antara yang menjadi sumber motivasi buat Muiz juga ialah bila dia melihat pelajar lain khatam 30 juzuk Al-Quran. Bila dia lihat dan dengar ada pelajar khatam pasti dia akan berkata pada Ustaz Nuzul “Ustaz, ada orang khatamlaa” sambil riak wajahnya penuh rasa hampa bercampur cemburu mengenangkan dirinya yang belum khatam.
Biasanya Ustaz Nuzul akan jawab “ Tak apa, kamu juga boleh cepat juga, usaha lagi!. Allah pasti bantu!”. Muiz biasanya akan terus jadi positif, “InsyaAllah Ustaz, saya usaha!. Lepas ni giliran saya pula!”. Selalu dia beritahu dia nak pecah rekod Khair Farish, pelajar senior tahun lepas yang khatam dalam masa 8 bulan. Alhamdulillah, impiannya tercapai. Dapat khatam dalam masa 7 bulan. Pahala besar juga buat Khair Farish tanpa dia sedar kerana telah menjadi sumber semangat buat rakannya. Subhanallah!. Cemburu yang bermanfaat sebagaimana inti kata-kata Rasulullah.
6- Ujian Kesusahan Keluarga yang buat dia hampir berhenti.
Langkah Muiz mengejar impian menjadi Al-Hafiz di AKMAL hampir-hampir terhenti kerana masalah kewangan dan kesihatan yang dihadapi oleh ayahnya. Tak mampu nak membayar yuran. Ketika itu Muiz sudah menghafal 27 juzuk Al-Quran. Sedikit sahaja lagi. Kata Ustaz Fakhrul, Musyrif AKMAL Shah Alam “ketika hasrat ayahnya ingin memberhentikan Muiz dari AKMAL disampaikan kepada saya, saya betul-betul terkejut dan saya memahami tekanan yang dihadapi ayahnya.
Kami berusaha mencari insan-insan berjiwa besar dan dermawan untuk membantu. Alhamdulillah rahmat Allah buat Muiz dan keluarganya. Ramai yang menghubungi dan membantu sehingga dana terkumpul cukup untuk menaja Muiz sehingga tahun hadapan”. Subhanallah!, begitu rahmat Allah kepada orang yang benar-benar ingin menjadi ahli Al-Quran. Semoga setiap huruf yang dibaca Muiz, pahalanya akan turut sampai kepada insan-insan dermawan ini.
Satu sifat yang boleh disimpulkan tentang Muiz ini ialah TABAH!. Ketabahannya luar biasa!.
Dia sedar dia bukanlah budak genius yang sekali baca terus ingat. Dari kesedaran itu dia berusaha. Usahanya pula bukan biasa-biasa. Akhirnya dia berjaya. Kejayaannya bukan hanya kejayaan peribadinya seorang, tetapi kejayaan buat insan-insan hebat yang turut berusaha bersama-samanya khususnya ayah ibu dan keluarganya, guru-gurunya, para dermawan yang membantunya serta insan- insan lain yang turut mendoakannya. Ditambah lagi dengan sistem AKMAL yang disusun kemas demi memastikan Muiz sentiasa di atas track atau landasan yang betul.
VIDEO UNTUK KENANG KENANGAN, TASMIK SABAQ AKHIR MUIZ
Tahniah buat Ahmad Muizzudin bin Mustafa Kamal Al-Hafiz!
Tahniah buat keluarganya serta guru-gurunya. Tahniah dan terima kasih buat para dermawan yang membantunya khususnya Toh Puan Aida, Puan Wan Hamimi, Puan Marina, Puan Salina, En Zainuddin dan ramai lagi para dermawan khususnya dari kalangan keluarga Muiz sendiri. Kini langkah Muiz terus disambung tanpa henti untuk mengambil Syahadah Tahfiz dan menguatkan lagi hafalannya serta memperkemaskan lagi kualiti bacaannya. Khatam 30 juzuk Al-Quran hanyalah kunci untuk membuka gudang ilmu dan lautan barakah Al-Quran yang lebih luas!..
Siru Ala Barakatillah!. Jalan terus Muiz!!.
~glosari~
Sabaq – Hafalan baru
Sabqi – Ulangan dalam juzuk yang sama
Mukhtar Khatam – Ulangan satu juzuk sebelum masuk juzuk berikutnya.
Manzil – Ulangan dalam juzuk yang lain
#MissionComplete
#DoneHafiz30juz
#Hafizsetahun
#Tahfizterbaik
#Akademiakmal
