Nusaybah, Al-Quran Dan ADHD – Perkongsian Menarik Ibu Tentang Cabaran kejayaan Anak Hafiz Al-Quran

NUR MUJAHIDAH NUSAYBAH – KESUNGGUHAN SEHEBAT NAMANYA.

Subhanallah, Alhamdulillah, Alhamdulillah..

Tahniah Buat Adik Nur Mujahidah Nusaybah atas kejayaannya mencapai misi hafiz 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh setahun 3 bulan Alhamdulillah…

Tahniah buat Murabbiah Farihah kerana super komited membantu Nusaybah hingga berjaya mencapai misi.. tahniah juga buat ibu dan ayahnya yang sentiasa positif dan percaya. walaupun banyak ujian yang dilalui, tetapi usaha dan support tidak putus-putus. tak lupa buat seluruh Magic Circle AKMAL, Murabbinya, Para Mujahid dan Mujahidah serta circle ibubapa yang sentiasa bersemangat tinggi meraikan kejayaan2 mereka, walaupun kejayaan yg kecil.

Moga Allah subhanahu wataala memberi kekuatan kepada Nusaybah agar terus istiqamah menjaga hafazannya dan mengambil peluang senjadi sebahagian dari team Emperor syahadah Emperor AKMAL pula selepas ini insyAllah….

Al-Quran sentiasa dihati

HAFIZ SETAHUN BUKAN ILUSI, TETAPI PERLU SUPER KOMITED UNTUK MENCAPAINYA…
SETAHUN MENEMPA SEJARAH
Perkongsian Menarik Puan Hairena Norashikin Tentang Cabaran kejayaan Mujahidah Nusaybah Hafiz 30 Juzuk Al-Quran
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang mengizinkan majlis sabaq akhir berlangsung dengan baik semalam. Seusai Nusaybah menyelesaikan bacaan Surah At-Tahrim, Ayat 12 (akhir juzuk 28), maka selesailah perjuangan siri pertama untuk menghafal kalamullah.
Sesunggunya saat yang mencabar di dalam tempoh ini ialah ketika melalui fasa tasbit. Selepas selesai hafalan sebanyak 25 juzuk, Nusaybah perlu mengulang semula untuk memastikan hafalan betul-betul mantap. Selepas selasai tasbit, barulah Nusaybah boleh sambung 5 juzuk yang terakhir untuk dihabiskan.
“Tasbit sepatutnya boleh cepat sebab dah hafal. Boleh bawa satu juzuk satu hari. Tapi ini macam hafal baru. Hilang dari ingatan, macam tak pernah hafal”.
Itulah yang sering diungkapkan oleh Abi Nusaybah setiap kali kami menerima laporan harian daripada mudir.
Bagi saya pula, hafalan ini umpama unta liar. Jika tidak diikat dengan kuat, sudah pasti dia akan mudah terlepas. Saya cuba memahami situasi Nusaybah.
Di sinilah cabaran yang sangat getir. Semangat turun dan naik. Turunnya lebih banyak lebih-lebih lagi apabila melihatkan pelajar tasbit lain yang berlari laju sehingga ada yang mampu membawa banyak juzuk dalam sehari.
Ada waktunya dalam sehari hanya dapat satu mukasurat sahaja untuk tasbit. Jauh dari expectation Abi, Ummi dan guru-guru di AKMAL. Sikapnya mula berubah seolah-olah malas dan jemu serta tidak semangat.
Adakalanya dia tidak bercakap benar untuk melarikan diri daripada disoal bermacam-macam. Bila laporan harian dihantar, barulah kami tahu rupanya ada hari yang dia tidak tasmik. Abi pula semakin lama semakin geram memikirkan sikap Nusaybah. Selepas ditegur, dia masih bersikap yang sama.
Bukan sahaja air mata Nusaybah yang kerap tumpah, ummi dan abi juga turut terkesan. Buntu. Dalam solat, air mata keluar tanpa diundang. Adakah kerana dosa-dosa kami menjadi hijab untuk Nusaybah dapatkan Al-Quran.
Marah sudah, pujuk sudah, rotan pun sudah. Kami belikan apa-apa sahaja yang Nusaybah nak makan, kami bawa berjalan ke mana sahaja yang dia nak pergi, kami beri dia tengok cerita yang dia inginkan.
Ummi duduk seharian bersama Nusaybah untuk bantu sama-sama menghafal. Abi pula menjaga anak-anak yang lain. Ketika itu PKP dilaksanakan. Malam selepas anak-anak tidur, barulah ummi dan abi bersengkang mata menyiapkan tugasan kerja hakiki kami.
Pun Nusaybah masih tidak konsisten. Ada hari hafalannya baik sehingga 10 muka surat. Tetapi selepas itu dia mula kembali kelihatan malas dan tidak fokus. Ummi dan abi tahankan untuk tidak marah. Namun, kesabaran senipis kulit bawang tidak mampu menjadi benteng.
Otak kami penat, badan kami letih. Hanya beberapa juzuk sahaja untuk bergelar Al-Hafizah. Tetapi dia kelihatan tidak bersungguh-sungguh.
Alhamdulillah, Maha Suci Allah yang mengilhamkan kami melihat dari sudut yang berbeza. Kami mula mencari maklumat di internet. Hasil carian kami menunjukkan mungkin ada kaitan dengan fungsi otak.
Saya teringat kata-kata Kak Ida Hasni (pensyarah Fakulti Sains Kesihatan) semasa saya menghadiri journal club presentation beberapa tahun lepas. All parts of the brain should function at least mimimally.
Saya cari di internet alamat dan nombor telefon pusat psikologi kanak-kanak. Kami bawa Nusaybah jumpa psychologist.
Tak pernah terfikir, selepas beberapa sesi perjumpaan selama 2 bulan, rupanya Nusaybah disahkan ada ADHD.
Kami cari maklumat lanjut tentang ADHD. Sah, ADHD menjawab segala teka-teki kami terhadap sikap Nusaybah. Kami belajar dengan psychologist bagaimana untuk kami mendidik anak ADHD. Kami maklumkan juga pada ustazah apa yang boleh mendorong Nusaybah dan apa yang boleh menjatuhkan mood dan semangatnya.
Ramai tak percaya ADHD kerana dia kelihatan seperti anak-anak lain. Track record pembelajaran Nusaybah sangat baik. Semasa di SK Puncak Alam 2, dia pernah masuk kelas pertama daripada 12 kelas (500 pelajar dalam satu darjah). Di sekolah agama pun dia merupakan pelajar terbaik bahasa arab 3 tahun berturut2. Di AKMAL, dia merupakan anak murid pertama Murabbiah Farihah yang khatam.
Nusaybah mudah lupa, bila bercakap orang tak faham, dia nak cakap lain orang faham lain, dia jawab soalan tanpa berfikir sehinggakan kelihatan menipu padahal dia tak ada niat menipu, fokus cepat lari, sukar memahami arahan, anxiety level juga agak tinggi.
Alhamdulillah, keputusan kami untuk Nusaybah teruskan hafazan di Akademi Al-Quran Amalillah – AKMAL untuk menyambung syahadah lebih jelas dan tetap selepas kami dapat diagnosis ini.
Kami mahukan Nusaybah tetap bermujahadah dengan Al-Quran, mudah-mudahan selepas ini dengan keberkatan Al-Quran, mudah untuk Nusaybah belajar ilmu-ilmu yang lain.
Mudah-mudahan Al-Quran menjadi penawar untuk Nusaybah, menjadi sahabat karib yang akan menemani perjalanan di dunia, di dalam qubur dan di alam sana.
** Insya Allah esok Nusaybah akan meneruskan sesi terapi bersama psychologist.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *